Tergerak nak tulis malam ni mengenangkan ATDI dan ATPN yang nak ditutup/diroboh tak lama lagi.
Aku duduk kat ATDI dari tahun 1984 sampai 1988. Terpilih masuk berdasarkan keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima yang agak baik. Di hantar kesekolah La Salle PJ, pengalaman hidup kat asrama ni banyak mempengaruhi pemandangan dan pemikian aku berkenaan persahabatan dan kepercayaan sampai dah umur 40 tahun ni.
Pada awal Form 1 sampai Form 2, prestasi pelajaran aku agak baik. Kemudian, masuk Form 3, aku dah mula main main sikit. SRP aku cukup cukup makan untuk aku terus stay asrama. Masuk Form 4, aku ke kelas Perdagangan.
ATDI ni kira asrama induk masa tu. Ada padang, court tenis, makmal sains, makmal bahasa dan perpustakaan. Asrama lain (ATPN dan ADL) akan datang bertandang ke sini untuk menggunakan kemudahan sama. Aku aktif dalam sukan bolasepak (jadi goalkeeper tu utk team ATDI dan Yayasan Selangor dan jugak Kapten team volleyball (walaupun aku pendek, tapi setting aku power!).
Bermula Form 3 sampai Form 5, aku dah mula selalu stayback. Selain dari aktiviti sekolah, aku jugak stayback balik rumah (yang ni kira illegal lah ). Bila keluar hujung minggu ke KL, aku akan balik tidur rumah. Ada masa jugak, aku bawak kawan kawan asrama datang sekali tidur.
Ada beberapa peristiwa yang aku tak boleh lupa.
Masa Form 3, ada sekali tu bilik kitorang kena serbu dengan lebah sampai buat sarang. Kitorang pukul dengan pembaris sampai buat bising satu asrama, sampai kena jerit dengan Ustaz.
Satu lagi, malam April Fool, baling belon isi air kat ATPN. Kantoi dengan Penolong Penguasa, kena libas kat tapak tangan.
Kemudian, malam kitorang menyelinap keluar, nak tengok Konsert Rusty Blade kat Stadium Negara.
Hari sukan gabungan ATDI dan ATPN.
Aku diberi kamera oleh Encik Yasin untuk jadi kameraman Yayasan
Malam Konsert Tahunan
Malam Freshie
Kes pukul? Biasalah....aku tak boleh lupa tengok Edzlyzam kena belasah pasal kononnya dia lorat. Kes pukul ni dah jadi macam jadi initiation nak tunjuk siapa jantan dan taiko besar la kononnya. Biasala, umur remaja, masing masing nak cari tempat dalam "sosial circle". Tauladan bulinya ialah, Takut=Respek. Itulah penyakit kat asrama ni.
Anyway, macam aku cakap, kehidupan di ATDI lah yang banyak membentuk pemikiran dan pendekatan aku berkenaan persahabatan dan kepercayaan sebab aku juga KENA PUKUL!!
Aku ingat lagi malam kena pukul tu. Masa tu asrama dah nak kosong dan tinggal kami Form 5 aje. Aku dah nak tidur, diorang kejut aku suruh datang meeting nak pegi Langkawi. Bila aku masuk bilik, hampir semua badge aku ada dalam bilik tu. Si Ajak (Razak Salaman) terus suruh aku duduk dan mula mukadimahnya pasal ada kes budak hilang wallet. Serta merta aku dipaksa untuk mengaku mencuri, masa tu aku sedar motif meeting tu. Aku ditanya kenapa selalu stayback, kenapa aku ada banyak duit beli kaset dengan buku buku rock, kat mana aku ada masa duit tu hilang. Aku kata aku tak ambik, "PANG!!!" kena lempang. Aku ingat Ajak, Shahril dan mungkin Rashdan dan Jalil join sekali. Entah berapa kali kena aku tak ingat diorang terus paksa aku mengaku.
Kemudian, aku di baring menelentang dan muka aku kena tutup dengan bantal. Masa tu aku berserah aje nyawa ni sebab dah tak boleh buat apa. Aku tahu sekarang macamana rasanya detik akhir kalau orang lemas. Allah masih nak kau hidup, bantal kena angkat dan diorang ugut nak call orang tua aku. Masa tu lah aku "mengaku". Aku dah sedih sangat dan tak nak orang tua aku sedih. Diorang bukan nak kebenaran, tapi hanya nak puaskan dengki aje aku rasa.
Aku sedih mengenangkan Ketua Pengawas dan Pengawas Asrama yang lain yang ada menyaksikan aku dipukul, buat tak tahu. Contoh, kuasa yang diberi hanya untuk hiasan. Aku sedih mengenangkan kawan kawan yang pernah aku bawak bermalam kat rumah aku berpaling muka dari aku. Semuanya terpaksa menjarakkan diri kerana tunduk atau terima pengaruh cemburu oleh beberapa orang.
Aku kemudian disuruh menulis surat pengakuan. Aku tulis macam diorang hendak. Malam tu aku buat keputusan untuk lari keluar asrama. Aku keluar dengan satu bag plastik aje. Habis semua gambar kenangan dan harta yang lain aku tinggalkan.
Sampai rumah aku cerita pada orang tua apa yang terjadi. Tapi Arwah Ayah aku berkeputusan untuk tidak memanjangkan isu ini sebab dia nak aku maafkan diorang dan lupakan semuanya. Aku tercengang sekejap dan kecewa. Double dos dissapointment. In the end aku memberontak sendiri. Lepas periksa aku kerja jadi despatch dengan Bakaruddin & Co kat Kampung Baru.
Malam aku kena pukul benar benar menghantui hidup aku sampai sekarang. Maruah dan harga diri aku hilang begitu saja malam tu. Sedih bila kena khianat oleh kawan kawan sendiri. Aku ingat sangat, ada di antara mereka yang betul betul aku anggap sebagai saudara yang tak sanggup bertentang mata, sebab aku dah nampak hina. Ialah, dah kena cap PENCURI. Dengan keputusan GAGAL SPM, aku teruskan hidup dan Alhamdulillah dapat kerja sebagai waiter dalam keretapi. Pernah beberapa kali aku terserempak dengan Yahya (Budak VI). Masa tu dia study kat ITM Segamat. Aku rasa kecikkkkk... sangat mendengar diorang semua masuk universiti, aku cuma pelayan. Pelan pelan, aku kikis semua ingatan kat asrama. Aku takkan maafkan diorang semua pasal mengkhianati aku.
Allah Maha Besar. Dengan usia muda (18tahun) dan kerja yang aku buat ke sana ke sini dalam keretapi, aku langsung tak terjebak, walaupun noda dan gelora jelas terbentang. Bayangkanlah, bilik yang company bagi berjiran dengan rumah pelacur, rumah nombor, rumah arak, rumah judi kiri dan kanan. Orang JB tahulah reputasi Jalan Wong Ah Fook.
Aku dianugerah dan dikelilingi oleh kawan kawan yang baik dan jujur. Kami sama sama melalui susah dan senang. Sentiasa membetulkan dan mengingatkan satu sama lain. Gaji cuma RM1.50 sejam, duduk kat JB dan Singapura, manalah nak lepas. Makan nasik dengan kuah kari aje sebab tak nak pokai. Mutalib, Shahron, Mr Kharul, Mr Neil, Mr Neesa, Mr Mani, Mr Kadir, Mr Yasin, Jeeva, Mr Low, Zaidi, Faizol, Rahim, Aini, Roslan, dan Mr Ibram. Diorang dan beberapa yang lain akan sentiasa aku kenang sebagai penjaga dan pembentuk di masa aku melalui umur dan perjalanan hidup yang genting. Hanya Allah yang tahu betapa aku sanjung amat amat, persahabatan kita, walau ada yang dah tak jumpa lagi. Sebab tu lah bila Tanjung Pagar nak tutup, aku sedih.
Finally, aku menulis entry ni sebagai tauladan untuk diri aku dan untuk sesiapa yang membacanya. Dikhianat, difitnah dan di pukul oleh sahabat amatlah pedih. Ditinggalkan kawan dalam keadaan dikhianat amatlah perit. Tidak dilindungi dan dibela oleh mereka yang berkuasa amatlah mengecewakan. Diadun semua sekali, boleh menjadikan seseorang itu hilang akal dan hilang iman. Aku dah melaluinya dan merasainya. Alhamdulillah, walupun aku masih belum alim sepenuhnya tapi aku dah mula tenang. Aku tak pernah hilang iman pada Allah, cuma aku kurang amalan. Aku juga dah maafkan mereka seperti Arwah Ayah hendak.
Itulah kenangan ATDI aku.