Total Pageviews

Tuesday, June 28, 2011

Tanjong Pagar Railway Station

Malam ni aku akan menaiki keretapi malam terakhir ke Singapura. Aku akan balik ke KL dengan keretapi terakhir yang akan meninggalkan Stesen Tanjung Pagar. Hati rasa amat sedih sebab stesen ini amat dekat di hati.





Habis sekolah, aku kerja despatch. Lepas 6 bulan aku dapat kerja sebagai "waiter" di atas keretapi. Mr Ramayah yang interview aku. Gaji aku RM1.50 sejam. Aku terima aje sebab aku takda kelulusan pun. Lagipun aku nak keluar rumah sebab malu fail SPM. Nasib baik aku sekolah La Salle PJ, jadi "London" aku kiranya mantaplah.





Tren pertama aku ialah Mel Malam KL-Singapura-KL. Supervisor pertama aku Mr Neil. Kawan kerja pertama aku Si Jeewa. Kat sini jugak lah aku mula belajar perkataan Chef, a la carte, buffet, sunny side up, dan yang sewaktu dengannya. Perjalanan 12 jam, berhenti di 22 buah stesen.





Koc Kantin biasanya akan diletak ditengah tengah, diantara 12 gerabak. Kalau musim perayaan akan jadi 24 gerabak. Semuanya Kelas 3, maknanya main belasah duduk. Kalau time sesak, sampai ada yang duduk kat tangga, celah gerabak dan sampai ke dalam toilet.





Selain melayan penumpang yang datang ke kantin untuk makan, aku juga akan berjalan ke setiap gerabak untuk menjual makanan dan minuman. Kami panggil tugasan ini Coach-to-Coach. Kami akan berentap hasil jualan dengan team dari tren yang lain. Menunya simple. Cuma ada Nasi Goreng, Mee Hoon Goreng, Nasi Lemak, Sandwich dan Burger. Minumannya adalah air tin, teh kopi beruncang dan Milo.





Aku rasa seronok dan suka kerja ni. Masuk kerja pukul 6.30 petang, siapkan barang, tolak ke Koc Kantin. Kitorang kadang kadang berlawan siapa boleh angkat cartoon can drinks paling banyak. Rekod aku 8 cartoon. Rekod tempat kerja 12 cartoons. Si Chris Grago yang pegang. Tren bertolak pukul 8 malam, sampai Tanjong Pagar 7 pagi besok.





Untuk tahun tahun berikutnya, aku naik pangkat dan naik gaji. Kerja tren yang lain jugak. Tapi yang pasti, aku akan sentisa di letak di laluan ke atau dari Singapura. Tanjong Pagar bukan setakat stesen untuk aku. Ianya rumah, ianya keluarga, ianya sekolah aku. Aku jumpa banyak orang yang memberi inspirasi untuk menjadi lebih baik di sini.

No comments: