Kami beransur balik sekitar tengahari dan dalam perjalanan turun, Fadel call dan kasitau Along tengah tenat, jantung terhenti 30 minit. Aku mintak Rizal hantar terus ke HKL, kesian diorang terpaksa skip lunch pasal kecemasan aku ni.
Sampai hospital, aku tengok Along dan dengan alat bantuan pernafasan. Hati dah tak tenteram, tapi terpaksa tenang sebab Mak dah layu sangat sangat. Alhamdulillah, ramai sedara datang dan tenteramkan Mak dan jugak vital signs nampak stabil. Nurse kata pagi tadi Along menangis dan BP dia naik mendadak, itu yang jadi nazak tu.
Kami balik beramai ramai dan around 6pm Mak Uteh called kata Along dah boleh gerak kaki dan bulu roma tangan dia meremang. Alhamdulillah sekali lagi. Aku bagitau Mak, nak bawak Along duduk Kelana Jaya, dia ambik bilik aku dan mulakan fisio secepat mungkin.
Sedang kami nak mula tidur malam tu, hospital call, suruh datang secepat mungkn sebab Along dah nazak semula. Ya Allah!!!! Kami rushed ke sana dan bila sampai kat HKL dalam 11.45pm, Along memang dah dalam perjalanan kembali ke rahmatullah. Menurut nurse, sekarang terserah kepada takdir dan menyuruh kami bersedia. Mak terus lemah dan macam nak pengsan. Semua yang datang pun dah menangis, termasuk Bang Lan dengan anak anak. Jam 12.05am Ahad 11/3 jantung Along berhenti berdenyut. Doktor datang dan buat pengesahan. Nurse memulakan proses membersih jenazah di katil. Bang Lan jadi kelabu, so Faizul, Bang Leman dengan aku, uruskan proses tuntut jenazah dan bawak balik ke rumah.
Aku ikut van bawak jenazah Along balik ke rumah. Pukul 1.30am, jenazah sampai kat rumah dan diletak di ruang tamu. Aku mula buat persiapan kebumi dan tahlil, terimakasih pada Pak Cik Yusof dan Pak Cik Rosli yang membantu. Dalam 2.30 aku masuk ke bilik dan menangis sedih yang teramat sangat. Aku dah kebumi Ayah, Atuk, Uwan dan Sabrina, tapi tak pernah aku rasa sesedih begini. Tak pernah sedetik pun aku membayangkan hidup aku tanpa Along. Sungguh sungguh blank! Aku tak ingat pun bila aku terlelap.
Pukul 6 pagi aku bangun, solat Subuh dan terus sambung baca Yassin untuk arwah. Dipersetujui untuk urusan mandi, mengapan dan van guna khidmat Tabung Haji dan di buat lepas Zuhur. Sedih tengok Mak yang sentiasa menangis masa Along tengah dimandikan. Aku ikut van dari Masjid Tabung Haji ke Tanah Perkuburan Kota Damansara. Sepanjang perjalanan, bermacam macam kenangan aku dengan Along bermain di kepala. Kami buat pondok atas katil, main galah panjang, main konda kondi, main rounders, bergaduh, bertengkar, makan steamboat, makan kat Hilton, dia ambik aku balik kerja kat Sodexho, dia kahwin, dia hantar aku pergi kerja, aku tersalah isi minyak diesel dalam kereta dia, kami pergi court angkat sumpah harta arwah ayah, dia masak untuk open house, aku hantar dia kat bus stop Batu 9, pegi cuti kat Melaka, cuti kat Port Dickson, pegi Singapore, pegi Cherating...ya Allah..banyak sungguh flashback.
Masa kebumi aku sambut jenazah ke liang lahat. Seorang adik menghantar kakaknya ke alam barzakh. Sedih dan sebak hanya Allah yang tahu, tapi aku bersyukur sebab dia tak payah menderita lagi. Emak tak ikut sebab sedih sangat. Alhamdulillah segala urusan pengkebumian selesai.
Kami buat tahlil 3 malam. Hari Sabtu 17/3 buat tahlil hari ke 7. Pagi Sabtu tu Mak menangis. Kami berbual dan berkongsi kenangan. Mak cakap, banyak banyak pengkebumian, ini yang paling sedih. Aku pun cakap benda sama dengan Mak. Pak Lang, Pak Uda, Ucu Lamah, Uwan Mon pun menangis. Aku sedih sangat sebab tak boleh menangis. Kena jadi tiang seri. Semua sedara mara terasa pemergian Along sebab dia sangat merendah diri dan peramah.
Tapi aku sedih sebab hilang seorang kakak yang sentiasa menyokong dan membantu adiknya. Orang tengok aku lebih senang dan berjaya dari Along, tapi mereka tak tahu yang Along lah yang sentiasa jadi tempat aku mencurah. Bila Mak kata dia tak nak aku kahwin dengan Cina, kat Along lah aku mencurah pasal Amy. Bila aku kena belasah kat asrama ATDI dulu pun, Along lah yang banyak menyemai semangat aku semula. Dia tak pernah tolak permintaan aku dihantar ke sana sini. Aku sedih bukan pasal dah takda orang nak buat semua tu. Aku sedih kerana tak dapat tengok dia hidup lebih senang dari yang sekarang.
Al Fatihah Along, dari adik kau ni yang selalu membebel.
No comments:
Post a Comment